Sahabat PERKIM

Sunday, May 27, 2012

Peperiksaan Satu Amanah


            Sebagai seorang pelajar atau mahasiswa, tidak kira berapa peringkat pengajian mana pun kita tidak akan lekang daripada mendengar perkataan “peperiksaan”. Tidak kiralah sama ada kuiz,ujian pertengahan semester,ujian bulan dan seumpananya.

            Sebagai seorang yang bergelar mahasiswa/mahasiswi di bumi Sintok ini, atau lebih tepat lagi sebagai orang-orang yang boleh dikategorikan sebagai bijak pandai. Pasti akan melihat bahawa peperiksaan itu tidak lebih daripada satu halangan yang perlu dilepasi. Bahkan terdapat sesetengah orang yang beranggapan peperiksaan itu cuma satu petaka yang menimbulkan tekanan bila diambang musim peperiksaan. Namun sesetengah ada juga yang beranggapan peperiksaan tidak penting dan itu cuma persembahan dunia semata. Dan lebih lagi bila ada yang mengatakan ilmu lebih penting dan ilmu bukan sekadar pada ‘’pointer’’.

            Memang benar ilmu seseorang tidak boleh dinilai hanya pada atas kertas dan hasil markah peperiksaan. Sepatutnya kita menganggap peperiksaan itu satu amanah bagi kita dan tidak memandang ringan. 

            Dalam peperiksaanlah tempat untuk kita menguji sama ada kita telah menunaikan amanah kita terhadap harapan ibu bapa atau tidak serta amanah kita terhadap ilmu-ilmu Allah.

            Melihat kepada kebiasaan seseorang pelajar yang memikirkan kepentingan sendiri semata. Hendak cemerlang dan memikirkan cemerlang itu hanya untuk diri sendiri. Ada pula yang berfikir mereka lemah dan sukar untuk mempelajari sesetengah mata pelajaran. Walhal,pada hakikatnya setiap peperiksaan itu akan dihadapi hasil dari titik peluh masing-masing.

            Tidak dinafikan kehebatan ilmu itu bukan terletak pada ‘’pointer’’. Tetapi harus diingat peperiksaan juga penting sebagai medan menguji ilmu yang dipelajari. Kita boleh katakan peperiksaan ini cuma dunia sahaja tetapi hakikatnya peperiksaan satu permulaan untuk hidup di ‘realiti’ dunia sekarang. 

Kenapa?

            Bayangkan anda gagal dalam peperiksaan. Apa persepsi orang terhadap anda? Mungkin biasa pada anda. Tidak mengapa,sudah usaha sedaya mungkin itu biasa meniti dibibir. Namun apakan penangan atau reaksi dari ibu bapa? Hakikatnya dan secara fitrahnya tiada anak yang mahu melihat ibu bapa mereka kecewa.

            Selain itu, untuk terjun ke dalam ‘realiti’ hidup kini. Keputusan peperiksaan itu menjadi ukuran. Masyarakat akan pandang pada sijil peperiksaan,graduan mana, dan nilai ‘’pointer’’.

            Adakah mana-mana syarikat akan menerima seorang ketua pemasaran bagi pelajar yang keputusan peperiksaannya kurang memberansangkan?

            Adakah seorang pesakit akan mempercayai tauliah seorang doctor tanpa sebarang sijil kedoktoran yang hakikatnya berasal dari peperiksaan?

            Siapa kata peperiksaan tidak penting?

            Dalam peperiksaanlah segala benda menjadi aset atau liabliti. Mendapat penghargaan atau pandangan serong. Bahkan keputusan cemerlang juga sebagai penanda aras untuk menunjukkan ummat Islam juga boleh bersaing dalam masyarakt kini. Sekiranya seorang pelajar beragama Islam mendapat keputusan cemerlang sudah pasti akan meningkatkan juga maruah agama sebagai seorang Muslim.

            Peperiksaan satu amanah?

            Ya. 

Amanah daripada harapan ibu bapa untuk melihat anak mereka berjaya bukan sahaja pada atas kertas bahkan atas bumi Allah ini. 

Amanah daripada Allah sejauh mana kita menggunakan ilmu itu ke arah agama Allah. 

Peperiksaan medan pertempuran untuk mempertahankan amanah ini.

~Wallahu ‘alam~
~Sekadar Hamba~
           

Friday, May 25, 2012

Barisan Kepimpinan Kelab PERKIM UUM 2012-2013

 










Barisan Exco
































 
 





Menjaga Kesihaan Cara Rasulullah

 

Menjaga kesihatan sememangnya dituntun. Ini kerana kesihatan yang baik akan melancarkan amal ibadat kita. Sebaliknya jika kesihatan terganggu,ia juga akan mengganggu amalan yang hendak ditunaikan.
     Dalam hal menjaga kesihatan,Rasulullah SAW sentiasa mendatangkan penyakit. Mencegah penyakit itu adalah lebih baik daripada mengubati kerana apabila ditimpa penyakit,banyak masa dihabiskan untuk mengubatinya.
     Berikut disertakan pesanan Rasulullah SAW mengenai betapa pentingnya menjaga kesihatan.
  • Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit itu jika tiada penawarnya kecuali ajal maut.
  • Punca daripada segala penyakit ialah sejuk. Setiap makanan yang hendak dimakan sebaik-baiknya biarlah masak,dipanaskan dan sedia untuk dimakan.
  • Makanlah makanan jika rasa  diperlukan iaitu ketika lapar. Jangan makan ketika perut masih kekenyangan dan berhentilah sebelum kenyang.
  • Perut merupakan tempat bagi penyakit dan puasa itu sebagai penawar. Oleh itu, jadikanlah amalan berpuasa sebagai satu kebiasaan.
  • Makanan yang paling berkat ialah makanan yang dimakan secara beramai-ramai. Elakkan daripada makan berseorangan.
  • Makan berseorangan tidak ubah seperti makan dengan syaitan. Makan dengan seorang yang lain adalah seperti makan dengan raja yang zalim. Makan dengan dua orang yang lain pula seperti makan dengan para nabi. Pesanan ini membawa maksud bahawa makan secara beramai-ramai boleh menjalinkan hubungan silaturahim seperti bersama keluarga,sahabat dan saudara mara.
  • Apabila makan di dalam pinggan,ambillah makanan yang berada di tepi pinggan dahulu,kemudian tengah dan hujung. Jangan mengambil makanan di bahagian tengah kerana ia melambangkan kegelojohan. Kebiasaaannya lauk diletakkan di tengah-tengah pinggan.
  • Cuci mulut dengan berkumur-kumur selepas makan atau memberus kerana amalan ini ialah untuk menjaga kebersihan gigi.
  • Apabila makan bersama, selesai makan juga perlu bersama kerana ini menunjukkan dalam satu jemaah.
  • Makanan yang dimakan merupakan rahmat kepada yang memakannya,oleh itu, jangan sesekali membazirkan makanan. Pastikan makanan di dalam pinggan habis.
  • Elakkan minum sambil berdiri kecuali bagi mereka yang berpenyakit sengal pada paha dan pangkal paha.
     Jika kita ingin hidup sihat, ikutilah tunjuk ajar syariat mengenai tatacara mengambil makanan yang betul. Bukan mengikut hawa nafsu dan tekak sendiri semata-mata.
     Begitu juga sebagai seorang Muslim. Allah memerintahkan kita menjaga kesihatan dan jangan mengambil makanan yang tidak berkhasiat seperti makanan segera, makanan ringan dan air berkarbonat yang boleh menjejaskan kesihatan. Tubuh badan kita adalah amanah Allah. Ia perlu dijaga sebaik-baiknya, Ikutilah tabiat pemakanan yang betul, misalnya seperti piramid makanan. Di samping itu, beribadahlah agar kita dikurniakan akal yang cerdas dan tubuh badan yang cergas.

Tuesday, May 8, 2012

Bengkel Penulisan Artikel dan Berita


            Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Tuhan sekalian alam, Allah SWT kerana limpah kurnia dan rahmat dari-Nya dapatlah program Bengkel Penulisan Artikel dan Berita dilaksanakan. Program ini anjuran Kelab Persatuan Kebajikan Islam Malaysia Universiti Utara Malaysia (PERKIM UUM) dengan kerjasama Kelab Pentadbiran Muamalat Universiti Utara Malaysia. Program bermula sekitar 8.30 pagi dan berlabuh dalam pukul 1 petang.

            Program telah berlangsung pada 4 Mei 2012 bersamaan 12 Jamadilakhir 1433H bertempat di Dewan Serbaguna Pusat Islam Universiti Utara Malaysia.

            Program ini bermatlamat agar melalui program ini akan lahirnya mahasiswa yang mahir dalam bidang penulisan artikel dan berita. Fokus utama terhadapa program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada ahli kelab PERKIM UUM dan kelab Muamalat UUM akan teknik penulisan itu sendiri agar dapat digunapakai dalam kelab masing-masing. Namun matlamat umumnya,memberi pendedahan kepada mahasiswa yang berminat dalam bidang  ini.

Admin kira bidang penulisan ini merupakan satu bidang yang semakin berkembang dewasa ini. Jika dilihat sejarah penulisan dulu dan dibandingkan pula bidang penulisan kini amatlah jauh perbezaannya. Dari segi penerbitan,komisen,pendedahan dan mungkin penghargaan. Betapa bidang penulisan kini begitu memberi impak yang positif dalam industri penulisan itu sendiri sebagai medium penyampaian maklumat,pandangan,kritikan, laporan dan sebagainya.

            Program telah diserikan lagi dengan kehadiran pengedali bengkel jemputan yang dijemput khas untuk menjayakan program ini. Penulis Kanan Majalah Milenia Muslim iaitu Faizal Riduan telah menunjukkan kesudian beliau unutk bersama-sama dalam program ini bagi mengendali dan berkongsi ilmu dan pengalaman beliau dalam bidang penulisan artikel dan berita ini. Dengan kejayaan yang dirangkul dalam peringkat nasional sudah cukup menggambarkan kredebiliti beliau dalam bidang ini.

            Alhamdulillah sekali lagi program berjalan dengan lancar walaupun mungkin terdapat sedikit masalah teknikal namun barisan AJK telah mengatasi dengan baik.

            Semoga program seperti ini memberi manfaat kepada yang menghadiri program tersebut. Dan melahirkan mahasiswa yang mahir dalam bidang ini dan dijadikan sebagai medium dakwah efektif masa kini. 

Waallahu ‘alam~

sedikit gambaran sewaktu program berlangsung :


Pendaftaran peserta

                 
Faizal Riduan & YDP Kelab PERKIM UUM

Pengacara majlis saudara Hakim

Peserta dalam slot bengkel

Sebahagian peserta muslimah

Faizal Riduan mengendali slot bengkel

Sesi bergambar bersama penulis dan pengarah program (n_n)

Sesi bergambar dengan peserta muslimah

Monday, May 7, 2012

Dunia Ibarat Kebun

 

     Pernahkah kita renungkan bahawa dunia ini sebenarnya ibarat kebun, tempat untuk kita bercucuk tanam dan erti kata lain, dunia in adalah tempat untuk kita berbuat amal kebaikan di mana pada akhirat kelak kita akan menunaikan seberapa banyak pahala yang telah diperolehi.

     Dunia ini diciptakan oleh Allah untuk umat manusia mendiami disamping memikul amanah-Nya, mematuhi perintah dan meningagalkan apa yang dilarang. Setiap manusia yang diberi bekalan di akhirat setelah diberi peluang mengecapi nikmat dunia.

     Sebagaimana kita maklum, kehidupan di dunia ini penuh dengan muslihat dan tipu daya, hanya mereka yang berwaspada akan berhati-hati manakala yang lalai akan hanyut ke lemah kehinaan.

     Untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat,umat Islam perlu sentiasa mengingati pesanan Rasulullah SAW agar tidak lalai dengan tipu daya syaitan dan nikmat dunia. Terdapat lima pesanan Rasulullah SAW yang perlu diingati demi menjaga diri, keluarga, dan masyarakat agar tidak tergenlincir dari ladasan Islam yang diredhai Ilahi. Sentiasalah sematkan di hati peringatan ini untuk kebaikan diri sendiri.

     Rasulullah pernah berpesan kepada umatnya berhubung perkara berikut :

1. Kerap menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
       Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang terlupa bahawa terlalu banyak nikmat yang Allah berikan membuatkan kita terlupa memuji dan menyebut nama Allah. Mengapa kita boleh menjadi sebegitu rupa? Allahu Akbar~
       Makhluk yan tidak sepatutunya kita puji, kita puji berlebihan sedangkan nikmat yang Allah berikan tidak terlintas pun kita mahu memujinya, Kita hanya mengucap Alhamdulillah apaila kekenyangan sedangkan banyak lagi nikmat Allah yang boleh lafazkan kalimat itu. Pujian seumpama ini hanya sekadar di mulut tetapi tidak meresap ke dalam hati.
       Kita hendaklah sentiasa membasahi lidah dengan zikrullah . Ini kerana dengan zikrullah kita sentiasa ingat nikmat yang Allah limpahkan. Imam Ibnu Qayyim mengatakan, "Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh. Apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir,jadilah ia bagai tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya."

2. Kerap menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
       Nikmat di dunia terlalu sedikit dibandingkan akhirat. Masa 1000 tahun di dunia sama dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang pendek fikiran sibuk memikirkan hal keduniaan sehingga terlupa bekalan untuk hari akhirat.
       Oleh itu, lipat gandakanlah usaha mencari bekalan di akhirat dengan mengingati Allah setiap masa dan setiap ketika. Dengan menyebut dan mengingati kehidupan akhirat akan menyemarakkan semangat untuk berbuat amal ibadat dan amal kebajikan sebanyak mungkin.
       Kata Imam al-Qurtubi, "Tuntutlah kurnian Allah di dunia dan akirat. Dan tuntulah kurnian Allah dariapda dunia untuk akhirat,iaitu syura."

3. Kerap menyebut dan mengingati hal kematian daripada hal kehidupan.
       Memikirkan bekalan hidup ketika hari ua sudah menjadi kebiasaan dalam hidup tetapi kita jarang memikirkan apakah telah menyediakan bekalan secukupnya untuk akhirat? Memikirkan mati adalah sunat kerana ia akan membuatkan kita insaf dan sedar betapa kurangnya amalan yang telah kita sediakan untuk ke sana, Seperti juga perjalanan lain, perjalanan jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang mencukupi. Bekalan itu hendaklah disediakan semasa hidup di dunia. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tidak mengusahakan kebun dunia,masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat kelak.

4. Usah selalu menyebut kebaikan diri dan keluarga.
       Boleh dikatakan ramai yang suka apabila menyebut diri dan keluarga di hadapan orang ramai. Kita terlupa semua itu adalah perangkap syaitan kerana perbuatan ini akan menyebabkan kita sombong. Apatah lagi yang memuji-muji itu adalah rakan baik kita.
       Lama-kelamaan kita akan berasa tinggi diri daripada orang lain. Sedikit kebaikan yang kita lakukan, seolah-olah kita sudah berbuat baik kepada seluruh penghuni dunia. Sebaik-baiknya, elakkanlah daripada memperkatakan kebaikan diri dan keluarga di mata orang.
       Penyakit meninggi diri ibarat api dalam sekam yang akan merosakkan pahala kebajikan. Lebih dasyat lagi, jika menimbulkan riak atau bangga diri. Allah memberi amaran tidak akan mencium bau syurga. Malah, riak juga adalah unsur daripada syirik.
       Rasulullah SAW berpesan, "yang amat kutakuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil iaitu riak." Riak adalah amal yang dikerjakan untuk dipamerkan kepada orang dan membuat amalan kerana orang.

5. Jangan selalu sebut keaiban atau keburukan orang lain.
       Bagaikan sudah menjadi kebiasaan, adakala kita suka menjaja keburukan orang lain walaupun perbuatan itu jelas berdosa. Apa yang menghairankan, keburukan diri sendiri tidak dilihat tetapi lebih mudah melihat keburukan orang lain.
       Islam menuntut kita melihat kekurangan diri agar dapat memperbaiki kelemahan. Memburukkan atau mengaibkan orang lain sebenarnya memberi isyarat diri kita yang tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang,satu jari kepada orang itu tetapi empat jari lagi menuding diri sendiri. Ini bermakna bukan orang itu yang buruk,tetapi kita lebih buruk daripadanya.
       Perangkap syaitan yang menggunakan pelbagai cara unutk menghumbankan kita ke dalam api neraka sewajarnya dapat dijadikan iktibar. Usah terpedaya dengan tipu daya syaitan sehingga tergamak menjaja keburukan dan membuka keaiban orang.
       Rasulullah SAW pernah berkata, " Cukuplah bagi seseorang keburukan jika dia menghina saudaranya sesama Muslim."

     Begitulah 5 pesanan Rasulullah SAW agar Islam sentiasa hidup diberkati Allah dengan mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. Apa juga pesanan Rasulullah SAW memang sesuai diamalkan sepanjang masa cuma kita sahaja yang lalai dengan setiap pesanan beharga itu.

     Dunia ibarat kebun. Di dunia ini kita sebagai petani. Bercucur tanam untuk bekalan ke Jannah-Nya.


Waallahu 'alam~

Tuesday, May 1, 2012

Setiap Amalan Mestilah Ikhlas




   Salah satu syarat sesuatu amalan itu diterima oleh Allah ialah ikhlas dalam melakukan semata-mata kerana Allah SWT. Tidak kerana manusia, mengejar perkara keduniaan, menunjuk-nunjuk atau sebagainya. Seseorang yang tidak ikhlas dalam amalannya, maka segala amal ibadat yang dilakukan adalah sia-sia dan ditolak oleh Allah SWT.

     Sifat tidak ikhlas dalam amalan atau berniat untuk menunjuk-nunjuk merupakan sifat orang munafik di mana mereka itu bersolat,berpuasa atau berjemaah semata-mata kerana takut dengan orang dan seterusnya menjadi gunting dalam lipatan. Sifat sebegini amat dibenci oleh Allah SWT.

     Kesannya, kehidupan yang dilalui dipenuhi dengan keluh-kesah dan resah gelisah kerana tidak dirahmati oleh Allah. Oleh itu, seorang hamba perlu berusaha untuk meningkatkan keikhlasan diri dari semasa ke semasa. Mudah-mudahan ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah dan kehidupan.

     Tiada siapa tahu sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak dalam melakukan amalan kecuali Allah SWT. Seseorang itu tidak boleh dinilai dari segi luaran seperti yang dipakai. Mungkin dari segi zahir, orang lain melihatnya  sebagai seorang yang rajin beribadat, bersolat sunat, puasa sunat, berjubah, dan berserban tapi hanya Allah SWT sahaja yang layak menilai. Ikhlas atau tidak hanya Allah yang Maha Mengetahui.

     Kita boleh membuat contoh daripada golongan munafik misalnya di mana Allah SWT amat mengeji mereka. Pakaian mereka amat indah, rupa mereka nampak baik, apabila berkata-kata, Nabi SAW pun boleh tertawan. Mereka melakukan amalan agar dilihat oleh orang mukmin di kalangan para sahabat yang lain. Mereka mendirikan solat dalam keadaan malas dan penuh kepura-puraan.

     Oleh itu, kita perlu memastikan segala ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah. Selain ikhlas, kita perlu memenuhi dua syarat, iaitu hati yang penuh rasa cinta dan mengharap kepada Allah, juga perasaan rendah diri kepada-Nya yang dipersembahkan ibadat itu.

     Firman Allah SWT, "Kami limpahkan pelbagai ihsan kepada rasul-rasul itu ialah kerana sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami," (Surah al-Anbiya : 90)

     Menurut Aisyah r.a, beliau bertanya Rasulullah SAW mengenai seorang lelaki pada zaman jahiliah bernama Ibnu Jud'an. Beliau seorang yang suka menjalinkan ikatan silaturahim dengan orang ramai dan suka menyedekahkan makanan kepada fakir miskin. Adakah dia mendapat sebarang pahala? Maka Rasulullah SAW menjawab bahawa perbuatan itu tidak akan mendatangkan sebarang manfaat kerana dia tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dia juga tidak melakukan amalan yang disyariatkan untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah. Maka, bagaimana Allah mahu menerima ibadatnya??

     Untuk memastikan ibadat itu diterima oleh Allah, seseorang itu perlu mengikut cara ibadat yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW tanpa membuat sebarang tokok tambah ataupun pengurangan. Pengetahuan yang mendalam tentang Allah akan menambahkan lagi keikhlasan dalan beribadat. Kemudian disusuli pula dengan pengetahuan tentang sunnah Nabi. Apabila pengetahuan mengenai sunnah ini semakin mendalam, sama ada berbentuk perkataan, perbuatan mahupun pengakuan, maka semakin tinggilah kecintaan dan keikhlasan dalam melakukan ibadat.

     Dalam melakukan ibadat, sebagai seorang hamba, kita mestilah ada rasa takut dan mengharap rahmat Allah. Takut dengan azab Allah dan bimbang andai ibadat yang dilakukan tidak diterima. Berbekalkan keimanan, ketaqwaan dan keikhlasan, mudah-mudahan segala amal ibadat kita diterima dan kehidupan kita sentiasa dirahmati dan dalam redha-Nya.. Wallahu 'alam~

kepada yang faham SIRA.. kejar lah MARDHATILLAH bukan kejar SIRA..
(n_n)