Sahabat PERKIM

Saturday, July 23, 2011

Berikan Sinar Kehidupan kepada penduduk kampung Selaoi


                                                                             
Demi merealisasikan usaha Kelab PERKIM UUM dalam menyebarkan dakwah Islam dengan lebih meluas kepada masyarakat luar bandar serta memberi pendedahan dalam bidang pendidikan, maka program Sinar Gemilang kali ini yang telah berlangsung selama 4 hari 3 malam bermula dari 1 hingga 4 Jun 2011  di perkampungan Orang Asli Selaoi, Gerik ,Perak telah berjaya membuka minda penduduk kampung dalam usaha meningkatkan kualiti hidup mereka agar masyarakat luar bandar tidak terpinggir dari segi pengetahuan agama dan akademik. Selain itu juga, untuk mencapai objektif perjuangan Kelab PERKIM UUM yang mensasarkan masyarakat luar kampus dapat menikmati ilmu pengetahuan serta pendidikan adalah amat perlu bagi kami untuk memotivasikan serta menanam minat ingin belajar kepada penduduk kampung di sana khususnya anak-anak kecil demi mengubah nasib mereka supaya turut merasai kemajuan pada hari ini.
                                                    
Menurut dialog antara penduduk kampung, sejarah atau lebih dikenali sebagai asal usul tertubuhnya Kampung Orang Asli Selaoi ini, pada asalnya sebahagian daripada mereka bersekolah dan mendapat pendidikan di sekolah berhampiran di Banun, namun begitu setelah perlakunya satu peristiwa lebih kurang sepuluh tahun yang lalu di mana kaum orang asli ini dibuli dan berlakulah salah faham dan pergaduhan antara mereka dengan orang tempatan di sana. Peristiwa ini membawa kepada penghijrahan kaum mereka  masuk ke hutan iaitu Kampung Selaoi yang didiami sekarang.  Setelah itu, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) atau sekarang dikenali sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) telah mengambil berat dan menjaga kebajikan orang asli di Kampung Selaoi. 

( Anak-anak ini perlu diberi perhatian dalam bidang pendidikan agar tidak ketinggalan dalam bidang  pendidikan)

 Orang Asli Kampung Selaoi berbahasa Jahai dan pertuturan mereka hampir mempunyai persamaan dengan orang asli berbahasa Temiar. Penduduk di sini tinggal di dalam 10 buah rumah kayu yang dibina oleh JKOA dan setiap buah rumah terdiri daripada 2 atau 3 kelamin serta isi rumahnya. Kemudahan seperti dewan dan surau perlu dibina untuk kemudahan penduduk kampung. Sumber elektrik di sini hanya bergantung harap pada generator dan tidak semua rumah memilikinya.

Antara cadangan penambahbaikan yang kami ingin utarakan ialah penduduk kampung  Selaoi berhasrat untuk mendapat pendidikan kerana mereka rasa terpanggil untuk maju dan tidak mahu ketinggalan dari sudut bidang keilmuan. Menurut kami,  mereka perlu diberi peluang oleh pihak yang berkenaan dan pihak kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan harus peka dan selalu  mengikuti dan menyalurkan khidmat yang sewajarnya terutama kepada Jabatan Agama Islam contohnya yang selalu mengadakan program seperti ini. Menerusi JAIP misalnya kementerian akan lebih mudah terdedah dengan masalah kaum orang asli khususnya. 

(Mengenal ABC adalah langkah awal untuk mereka mengecapi ilmu pengetahuan.)


Berdasarkan kajian dan pengalaman yang telah dijalankan oleh  mahasiswa yang terlibat secara lansung dalam Program Sinar Gemilang 8 ini, satu tindakan praktikal sedang dirangka bersama dengan Majlis Permuafakatan Kelab PERKIM Universiti (MAMPU) untuk menyalurkan masalah ini ke arah pengurusan bagi menjayakan sebuah program pendidikan berterusan yang mana beberapa orang mahasiswa (terutamanya dalam bidang pendidikan) akan dihantar untuk menginap dan mengajar di sana untuk jangka masa lebih kurang dua bulan (draf perancangan awal) untuk memastikan bahawa masyarakat Orang Asli di sana umumnya dan kanak-kanak Orang Asli khususnya tidak keciciran dalam pelajaran. Tiga perkara asas utama yang akan ditekankan ialah membaca, mengira dan menulis (3M) walaubagaimanapun perkara ini terpaksa melalui beberapa peringkat perbincangan dinamik antaranya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kemajuan Orang Asli Perak (JKOA), Jabatan Agama Islam Perak dan beberapa jabatan kecil lain untuk melancarkan prorgram pendidikan berterusan ini. Besarlah harapan kami agar  usaha pendidikan berterusan yang kami rangkakan ini mendapat perhatian yang serius dari Timbalan Naib Canselor, Prof. Dato‘ Dr. Mohammed Mustafa Ishak untuk sama-sama membantu sekaligus menyokong usaha murni kami. InsyaAllah, sebuah kertas kerja akan dipanjangkan kepada Timbalan Naib Canselor, Prof. Dat0‘  Dr. Mohammed Mustafa Ishak selepas ini bagi menunjukkan keseriusan pihak kami dalam usaha membantu masyarakat terpinggir.

(Menanam minat belajar kepada anak-anak penduduk kampung Selaoi)

Selain itu, masalah kekurangan pendedahan dari segi ilmu tentang Islam juga amat menarik perhatian kami untuk utarakan agar ada resolusi terbaik untuk mereka.  Diharapkan pihak berkaitan akan peka hal ini agar pendedahan berkala tentang ilmu Islam boleh diberikan agar kesyumulan Islam dapat berkembang luas di kalangan penduduk Kampung selaoi. Difahamkan kebanyakan penduduk hanya mengaku beragama Islam, tetapi apabila disuruh mengucap, mereka tidak tahu dan lebih lagi ketidaktahuan mereka itu tentang solat dan sebagainya.

            Secara keseluruhannya, program ini berjaya membuktikan kemampuan mahasiswa dan mahasiswi UUM dalam melayari kehidupan masyarakat Orang Asli yang begitu sederhana kerana dengan ini kita dapat mendidik jiwa kita dengan merasai kekurangan orang lain di samping memahami cara hidup sesebuah masyarakat tempatan. Jika mahasiswa tidak mengambil peluang, ini merupakan satu kerugian dalam membentuk pengalaman mereka menjadi lebih matang dalam melayari arus kehidupan. 

sekian.

Editor: Timbalan S/U Kelab PERKIM UUM

No comments:

Post a Comment