Sahabat PERKIM

Sunday, July 31, 2011

Peristiwa Besar di Sebalik Ramadan

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183) 



Ramadan adalah bulan yang amat istimewa lagi eksklusif serta boleh dikatakan bulan pembersihan jiwa yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-hambaNya, namun sejauh mana pengisian dan penghayatan bulan Ramadan kali ini kita dapat aplikasikannya dalam kehidupan seharian kita. Sehubungan itu, usahlah kita membiarkan Ramadan kali ini berlalu begitu sahaja tanpa berlumba-lumba merebut peluang mempertingkatkan amal ibadah sekali gus menjadikan Ramadan kali ini adalah yang terbaik daripada tahun sebelumnya.


Sejarah telah membuktikan bahawa bulan Ramadan merupakan bulan yang melemparkan semangat dan sinergi baru dalam menghadapi kehidupan seharian dan bukanlah bulan yang mengasuh kita menjadi letih dan lemah. Lihatlah generasi awal Islam dahulu yang berkorban mempertahan dan membela agama suci dengan sepenuh hati walau apa pun rintangan yang melanda, mereka tidak pernah merasa letih dan lemah, namun sebaliknya semangat juang terus membakar jiwa-jiwa mereka. Berikut merupakan peristiwa –peristiwa besar yang berlaku di bulan Ramadan:

Ramadhan 2H


Perang Badar
Ibnu Hisyam menyatakan perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Perang ini terjadi pada pagi Jumaat, 17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini mengalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah.

Ramadhan 5H


Persiapan Perang Khandaq
Persiapan dilakukan dalam bulan Ramadhan dengan menggali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Strategi ini ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Hal ini diusulkan Salman Al-Farisy. Peperangan ini terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaidah setelah pasukan muslimin berjaya memecah belah pasukan musuh.

Ramadhan 8H


Fathul Makkah (Pembukaan Kota Mekah)
Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dalam keadaan berpuasa. Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan.

Ramadhan 9H


Perang Tabuk
Pada tahun 629 M Rasulullah Saw. memutuskan untuk melakukan aksi preventif,yakni ekspedisi ke wilayah tabuk yang berbatasan dengan romawi. Setelah sampai di Tabuk, umat Islam tidak menemukan pasukan Byzantium ataupun sekutunya.

Ramadhan 10H


Ekspedisi Yaman
Rasulullah Saw mengutus pasukan dibawah pimpinan Saidina Ali ra, ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku yang berpengaruh di Yaman langsung menerima Islam dan masuk Islam pada hari itu juga. Mereka solat berjamaah bersama Imam Ali ra. pada hari itu.

Ramadhan 53H


Kemenangan tentera Islam di pulau Rhodes.

Ramadhan 92H


Pembebasan Sepanyol
Paglima tentera Islam, Tariq bin Ziyad memimpin 12.000 tentera Islam berhadapan dengan tentera sepanyol berjumlah 90,000 yang diketuai sendiri oleh Raja Frederick. Pada peperangan ini, untuk menambah semangat pasukannya, Tariq bin Ziyad membakarkan kapal-kapal perang mereka sebelum bertempur dengan tentera Raja Frederick. Beliau berkata, ”Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan, apakah mati tenggelam , atau mati syahid.”

Ramadhan 129H


Kemenangan atas Bani Abbas di Khurasan dibawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany.

Ramadhan 584H


Pembebasan Palestin
Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia istirahat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab “Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam”. Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini terjadi pada pertengahan bulan Ramadhan.

Ramadhan 658H


Perang Ain Jalut
Saat tentera tartar memasuki Baghdad, mereka membunuh 1.8 juta kaum Muslimin. Musibah ini disambut oleh Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semua kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertemu dengan mereka pada Jumat, 6 September 1260M di Ain Jalut. Peperangan ini turut disertai oleh isteri Sultan Saifudin Qutuz, Jullanar yang akhirnya syahid di medan pertempuran.



Khulasahnya, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amal ibadat kita di kesempatan yang masih diberi agar tidak terlepas ganjaran (reward) seluas lautan yang tidak terhingga banyaknya di bulan yang mulia ini. Oleh itu juga, ambillah pengajaran disebalik peristiwa besar yang berlaku di bulan Ramadan sebagai mentarbiahkan jiwa-jiwa kita agar berjaya menghidupkan roh Ramadan dalam diri kita.



Wallahua'lam 
~SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 1432H~



Di tulis Oleh: Timbalan Setiausaha
                    Kelab PERKIM UUM

No comments:

Post a Comment