Sahabat PERKIM

Wednesday, September 5, 2012

Selamat Datang



Assalamu'alaikum w.b.t. Alhamdulillah syukur ke hadrat llahi kerana limpah kurnia dan hidayah kita masih lagi diberi peluang untuk bernafas di muka bumi pemberian-Nya ini. Tidak lupa juga selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW,keluarga baginda, para sahabat dan para tabiin. Kerana perjuangan mereka nikmat Islam itu sampai dan dirasai oleh zaman kini.
Pada 3 September 2012 yang lalu, Universiti Utara Malaysia telah menerima kemasukan pelajar baru sebanyak 4076 orang.
Kelab PERKIM UUM mengucapkan SELAMAT DATANG kepada kesemua mahasiswa mahasiswi sesi 2012/2013 yang berjaya meneruskan pengajian di menara gading. Sudah tentu kegembiraan ini bukan sahaja dirasai oleh mahasiswa mahasiswi,bahkan keluarga mereka.
Diharap mahasiswa mahasiswi kemasukan kali ini terus bersemangat menuntut ilmu bertepatan dengan tuntutan Islam yang mensyariatkan wajib untuk menuntut ilmu malah Allah meninggikan pula darjat penuntut ilmu.
''...nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..." - surah Al-Mujaadalah ayat 11.
Sepertimana amalan-amalan yang lain, menuntut ilmu juga perlu ikhlas dan langkah yang pertama adalah keikhlasan diri. Langkah ini merupakan faktor yang amat penting Sabda Rasulullah SAW “Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang sepatutnya dilakukan kerana mencari Wajah Allah, namun dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan keuntungan duniawi, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada Hari Kiamat.” - riwayat Ibn Hibban
Oleh kerana itu dalam sebuah hadis yang lain, baginda Nabi mengingatkan  “Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka nerakalah tempatnya.”
Sesiapa yang memiliki niat dan tujuan yang betul sepertimana di atas, dia tidak sekali-kali akan terkalah dengan pelbagai cubaan dan fitnah yang mungkin dihadapinya dalam rangka memahami agama Islam. Dan niat menuntut ilmu kita sentiasa betul.
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” - surah Muhammad ayat 7.
 Sehubungan dengan itu, seluruh kepimpinan Kelab PERKIM UUM sekali lagi mengalu-alukan kedatangan para musafir ilmu ke bumi Sintok dengan harapan agar ilmu yang kita pelajari dapat dimanfaatkan untuk Islam di negeri kita nanti.Mudah-mudahan doa dan nasihat yang ibu bapa kita titipkan mengiringi kita sepanjang hayat dan kesempatan yang diberikan kepada kita.

~Bersama Memperkasakan Biah Solehah~


No comments:

Post a Comment