Sahabat PERKIM

Thursday, October 23, 2014

Salam Ma'al Hijrah 1436h


Salam Jumaat terakhir 1435h.

Helaian cebisan kenangan 1435 H sudah menjadi lipatan sejarah. Kini, 1436 H tiba dengan kisah baru yang penuh mencabar. Moga segala amalan kita ditahun lalu diterima oleh Allah dan diganjari dengan sebaik-baik balasan, disamping kita bermuhasabah dengan setiap kekurangan pada amalan dan tindakan kita.

Ungkapan “Al-Hijrah” pasti mengingatkan kita kepada sirah yang paling agung dalam lembaran Islam iaitu peristiwa Hijrah Rasulullah saw dari Mekah ke Madinah.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Hijrah tidak akan terputus sampai taubat terputus dan taubat tidak akan terputus sehingga matahari terbit dari barat.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Bagi memperingati peristiwa besar ini, jadilah peribadi yang lebih baik dari sekarang supaya kita semua menjadi perisai yang dapat meninggikan lagi syiar agama Islam. Renungkanlah kata-kata Prof. Dr Yusuf al-Qaradhawi yang ringkas tetapi cukup bermakna. Kata beliau,
“Apabila kita ingin melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini.”

Bersempena dengan Maal Hijrah yang penuh keberkatan ini, marilah bersama kita menyeru diri kita untuk menjadikan peristiwa hijrah ini sebagai satu momentum yang akan melonjakkan perubahan kita kepada satu tahap yang lebih baik daripada sebelumnya.

Sentiasalah kita bermuhasabah dan mempersiapkan diri dengan segala persiapan ilmu dan kemahiran kerana masa depan umat Islam terletak ditangan kita.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”(Ar-Ra’ad : 11)

Salam Ma'al Hijrah dari kami Kelab PERKIM UUM

Tulus ikhlas,
Siti Asiah binti Azlan
Naib Presiden, Kelab Perkim UUM
Sesi 2013/2014

No comments:

Post a Comment