Sahabat PERKIM

Wednesday, April 1, 2015

INDAHNYA TARBIAH INI
Ya Allah,
Dengan izinMu,
Telah banyak yang ku lalui,
Hingga pernah resah jiwa ini,
Walau  tak pernah ku zahiri,
Dalam segenap langkah perjalananku.

Jika dulu telah Engkau izinkan,
Aku merasai kehangatan kasih dalam alpa,
Jika dulu Engkau benarkan,
Aku menikmati rindu Adam kepada Hawa,
Jika dulu Engkau lepaskan,
Aku pada cinta dunia yang meleka,
Jika dulu Engkau biarkan,
Aku dalam bahagia yang sementara,
Cukuplah wahai Tuhanku..

Kerana di sebalik semua itu,
Aku pernah kehilangan cintaMu,
Pernah gersang jiwaku,
Pernah tandus imanku,
Derita itu merobek ketenanganku,
Hatiku yang telah retak semakin retak,
Solatku tiada lagi khusyuknya,
Rukukku tiada lagi ikhlasnya,
Sujudku bersama fikiran yang melayang entah ke mana,
Imanku longlai untuk berkata-kata.

Ya Allah,
Setelah semua itu aku lalui,
Dengan kekuatan yang Kau beri,
Ku gagahi jua langkah lemah ini,
Mengawal segala rasa di hati,
Berbekalkan harapan yang tidak pernah mati,
Dengan tekad dan niat yang kau ilhami,
Untuk mencari cintaMu yang pasti.

Dengan kasihMu,
Ku temui sahabat yang sejati,
Menarikku kepada satu janji ,
Yang aku sendiri pun tidak pasti,
Akhirnya, ku temui satu perjuangan hidup,
Yang amatku yakini,
Berbekalkan ukhwah sebagai penyeri,
Ilmu dan tarbiah mula jadi peneman hati,
Ku temui cintaMu yang hakiki,
Manisnya ku rasai,
Bahagia dan ketenangan yang abadi,
Sungguh indah tarbiah ini,
moga tarbiah ini sentiasa menemaniku,
Sehingga akhir hayatku nanti.



No comments:

Post a Comment