Sahabat PERKIM

Thursday, April 16, 2015

TAUBAT
Seringkali lafaz yang meniti di bibir kita “selepas ini aku ingin bertaubat”, “Aku menyesal,aku taubat”.Tetapi sejauh manakah lafaz yang meniti di bibir itu kita laksanakan?Tepuk dada,tanyalah iman kita,bagaimana sebenarnya kita.Berapa ramaikah yang mengungkapkannya?dan berapa ramai yang melaksanakannya?Adakah ini benar-benar menjadi satu tekad untuk diri supaya bertaubat akan segala dosa besar atau dosa kecil yang telah dilakukan?.Persoalan minda yang sering menerjah dalam kotak fikiran ini.
Setiap manusia itu telah diberi peluang untuk bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha. Taubat yang bersungguh-sungguh menyesali segala perbuatan maksiat atau zina atau apa sahaja dosa yang telah di lakukan oleh seseorang individu muslim.Namun, realitinya ia hanya sekadar ungkapan biasa,tiada usaha untukmendalami apa sebenarnya pengertian taubat itu. Masih ramai manusia yang tidak sedar dan tidak mengendahkannya.Masing-masing mabuk mengejar dunia,mengejar kemewahan, mengejar keseronokan dengan pelbagai perkara yang mana tiada perasaan menyesal dalam diri mereka walau sedikit pun.
Sebagaimana kisah benar yang ingin penulis kongsikan bersama sebagai iktibar buat kita semua berkenaan taubat. Taubat dari seorang pemuda melayu islam yang bergiat aktif dalam kumpulan kongsi gelap. Hari ini,anak-anak muda sering disogok dengan pelbagai perkara yang menjerat mereka memilih jalan yang membawa keburukan untuk mereka.  Apalagi perkara sebegini memungkinkan perkara maksiat atau zina atau bunuh-membunuh berlaku. Ingin penulis kongsikan sedikit berkenaan pemuda ini.
Beliau mula terlibat dengan kumpulan kongsi gelap ketika berusia 19 tahun. Pemuda ini merupakan pelajar di salah sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Kehidupannya tidak begitu mewah dan tidak pula begitu susah.Beliau bukan orang yang tidak berpelajaran, bahkan IQ pemuda ini cukup hebat apalagi jika ilmu-ilmu berkaitan sains. Namun,sayang berkali-kali sayang, kebijaksanaan yang ada pada dirinya,tidak digunakan dengan sebaiknya. Faktor pemilihan rakan-rakan di kolej, membuatkan dirinya hanyut dengan arus dunia.Tiada mengenal siapa dirinya, tiada mengenal halal dan haram. Arak menjadi minuman harian untuknya, rokok pula boleh sahaja menghabiskan 20 kotak untuk satu hari.Masya’Allah hidup pemuda ini bertukar menjadi tidak keruan.
Satu hari, pemuda ini menyelamat seorang gadis di lorong-lorong gelap. Penulis pernah bertanya mengapa diselamatkan gadis itu dan apa situasi ketika itu.Lantas,pemuda ini menjawab “perempuan itu nak larikan diri daripada bapak ayam, memang la kena belasah. Nampak teruk sangat,selamatkan lah.Lagipun dia tengah mengandung”. Cepat lafaz istighfar meniti di bibir penulis ketika itu.Pemuda tadi hanya mendiamkan diri tatkala mendengar ungkapan tersebut. Hanya menunduk seketika kemudian pemuda itu meneruskan bicaranya tanpa penulis mencelah sedikit pun.
“Aku selamatkan dia sebab kesian dekat dia. Sudahlah ditipu teman lelaki, dia pula dinodai oleh ramai lelaki. Sugar daddy tak sugar daddy semua ada. Anak yang dia kandungkan, anak siapa pun tak tahu. Pemuda itu menghelakan nafasnya,lantas menyambung bicaranya, “Dia kawan aku, kawan aku dekat kelab, kami satu kolej. Awal-awal tak kenal pun dia,kenal dia dekat kelab sebab taiko yang bawa aku kat situ.Kami baiklah,aku pun tak sanggup jugak tengok dia kena belasah. Fikir jugak kesian mak ayah dia kat kampung nanti, kalau tahu anak gadis dia tu dah jadi macam itu .Terdetik di hati penulis ini, masih ada sikap bertanggungjawab dalam diri pemuda tersebut jika dia seorang yang tidak bertanggungjawab atau perikemanusiaan pasti perempuan tersebut di abaikan begitu sahaja.
Pemuda itu bercerita lagi, “aku dah pernah belasah orang,tapi sepanjang aku dalam kongsi gelap ini,tak ada seorang pun aku belasah anak dara orang. Pegang pun aku tak pernah pegang. Arak itu,biasalah. Ikutkan seksi itu naik jugak nafsu ini. Tapi entahlah tak pernah teringin pun dengan perempuan macam itu. Setakat nak berkawan boleh lah.Aku jahat pun, perempuan aku jaga lagi. Silap buat aku jugak yang tanggung. “Tahu tak,perempuan itu, minta aku tolong dia gugurkan kandungan?”.Tersedak penulis ketika itu,biarpun tidak minum apa-apa air. “Aku tak kisah,aku tolong je.Aku pergi rumah dia,aku duk dengan dia.Aku tingkat bawah, dia tingkat atas. Malam itu, aku bagi dia makan nenas dan segala makanan yang boleh buat dia sakit perut.Aku ada bagi dia ubat dan dia makan ubat itu.Esok pagi terus dia tumpah darah,aku yang keluarkan janin dia,dan aku juga yang tanam janin tu.Aku ni dah banyak buat dosa.Tak akan ada perkara yang baik aku buat.”Pemuda itu tertunduk dan akhirnya menitiskan air mata di hadapan penulis.
Muslimin dan muslimat yang membaca cerita ini.Lihatlah bagaimana keadaan sekeliling kita mempengaruhi kita melakukan sesuatu perkara sama ada baik ataupun buruk. Apa yang diceritakan bukanlah rekaan, tetapi ia adalah kisah benar yang cuba di ketengahkan. Daripada beberapa dialog yang di paparkan, cukup banyak ibrah dan pengajaran yang boleh di ambil. Alhamdulillah, kini pemuda tersebut telah kembali ke pangkal jalan dan meneruskan pengajiannya dengan baik hingga dia telah berjaya mendapatkan pekerjaan yang cukup hebat. Perkara utama adalah mempelajari asas agama islam yang membawa beliau berubah menjadi individu muslim yang cukup baik.
Bagaimana Allah telah menyentak hati si pemuda untuk berubah dan bertaubat,begitulah kasih sayang yang Allah berikan melalui hidayah dariNya.Kuasa Allah Maha Besar,hidayah adalah milikNya.Pintu taubat sentiasa terbuka untuk setiap muslim.Percayalah Allah pasti menerima taubat hambaNya.
FirmanAllah :
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur :ayat 31)
                Perkara  biasa terjadi apabila kita mahu bertaubat, tetapi cabaran yang datang begitu hebat hingga tidak mampu untuk kita pertahankan diri supaya tetap pendirian.  Sering kita berbicara didalam hati atau mungkin sahaja meluahkannya sendirian,  “Aku nak bertaubat tapi dosa aku terlalu banyak. Sudi ke Allah maafkan segala yang telah aku lakukan selama ini? Sudi ke Allah terima taubat aku ini?".
                Mari kite baca firman Allah Taala :Katakanlah (wahai Muhammad) : "wahaihamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mangampunkan segala dosa ; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.. dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat serta berserah bulat-bulat  kepada Nya sebelum kamu didatangi azab kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.." (Surah Az-Zumar :ayat 53-54)

                Terakhir dari penulis buat seluruh muslim, janganlah khuatir apa sahaja cabaran atau rintangan yang bakal kita hadapi di hari mendatang apabila kita sudah nekad untuk berubah. Berubah dengan bersungguh-sungguh mengharapkan redha Allah, itulah yang terbaik. Usahlah bimbang pandangan manusia terhadap diri kita, pandangan manusia tidak akan sama dengan pandangan Allah. Kadang-kala, kita sudah berubah dan berhijrah kepada diri yang baru, namun bagi sesetengah masyarakat, mereka tetap juga memandang enteng akan perubahan yang berlaku keatas diri kita. Hadapilah ujian Allah dengan penuh kesabaran, kerana Allah akan menguji hambaNya dengan melihat sejauh mana ikhlasnya diri kita untuk memohon keampunanNya. Allah ingin kita memahami bagaimana ingin membezakan kebenaran daripada pendustaan dan kebaikan daripada kejahatan.
                Ingatlah apabila langkah pertama diri menyelusuri jalan kebenaran, teguhkan jiwa untuk berdiri dan usahlah begitu cepat untuk goyah kerana sindiran manusia. Ingatlah apabila amal kebaikan itu mahu dilaksanakan, pasti ada musuh yang cuba mengagalkan usaha tersebut. Mereka pasti cuba membawa kita menjadi sahabat mereka supaya menemani diri mereka ke dalam api neraka. Janganlah dihiraukan insan-insan tersebut atau mana-mana bisikan kejahatan, kerana itu boleh membawa diri kita terjerumus kelembah kehinaan buat kali yang seterusnya.
Firman Allah, Katakanlah (wahai Muhammad) : "aku berlindung kepada Allah, pemelihara sekalian manusia,  yang menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam  yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati menusia, iaitu (pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.." (Surah An-Nas :ayat 1-6)
                Gantunglah hati ini dengan setinggi langit dan rendahkanlah hati ini dengan serendah mutiara di lautan. Hidayah Allah itu adalah hak Nya dan Allah memberi  hidayah kepada sesiapa sahaja  yang  dikehendaki Nya dengan apa jua cara sekalipun. Marilah bertaubat sebelum terlambat. Ajal menanti, tiada siapa yang tahu. Pintu taubat sentiasa terbuka luas untuk kita dan jangan sesekali putus asa dengan rahmat Allah.


Sekian.
                                       

                           

No comments:

Post a Comment