Sahabat PERKIM

Saturday, November 5, 2011

Hayatilah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail




Assalamualaikum WBT ..
Alhamdulillah segala puji dan puja bagi Allah yang telah mengurniakan kita dengan nikmat yang paling agung iaitu menjadi orang yang beriman. Selawat dan salam buat junjungan tercinta yang telah memberikan keteladanan yang  tarbaik dalam segala hal dalam kehidupan terutama keteladanan yang mulia untuk para pendakwah sepanjang zaman. Tidak lupa kepada generasi Al-Quran yang menyelusuri jalan amal Islami mengembangkan Islam sehingga kini. 

Allahu Akbar! Takbir raya membesarkan Illahi akan bergema sekali lagi bagi tahun ini dengan datangnya perayaan terbesar dan penuh signifikan bagi umat Islam iaitu Eidul Adha. Dikala jutaan umat Islam sedang mengerjakan rukun Islam yang kelima; mengerjakan Haji apakah perkara yang boleh kita ambil dan hayati bersempena Eidul Adha? Eidul Adha juga dikenali sebagai Raya Haji dan Raya Korban kerana kedua-duanya saling berkait rapat dengan sejarah yang telah digazetkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran : 

"Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh."  (QS. Al-Hajj, 22 : 27)

"Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (kurban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka, maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, karena itu berserah dirilah kamu kepada-Nya. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah)."  (QS. Al-Hajj, 22: 34)
 
Allah SWT mengurniakan perayaan ini bukan sekadar hari bergembira umat Islam malah jauh lagi tujuannya yang barangkali sukar untuk manusia biasa memikirkannya. Namun antara 'ibrah (pengajaran) yang boleh diambil ialah berkenaan seruan pengorbanan yang dituntut oleh Allah AWT. Pensyariatan Eidul Adha boleh dilihat dari sejarah Nabi Ibrahim as. dan Nabi Ismail as. berkenaan pengorbanan tinggi yang ditunjukkan oleh kedua-dua nabi tersebut. Ketika mana Allah memerintahkan Nabi Ibrahim melalui mimpi untuk menyembelih Nabi Ismail, Baginda telah membenarkan mimpi tersebut bahawa segala perintah Allah wajib dipercayai dan dilaksanakan. Begitu juga Nabi Ismail yang merelakan diri kerana iman yang cukup kukuh terhadap Allah dan kefahaman yang tinggi terhadap kewajipan melaksanakan tuntutan dan syariat Allah SWT. Setelah terbukti kesabaran,pengorbanan dan ketaatan kedua-dua nabi Allah tersebut, Allah melarang menyembelih Nabi Ismail dan menggantikan korban dengan seekor sembelihan. Kisah ini boleh dirujuk dalam Al-Quran surah As-Saffat (37) ayat 102-107.
 

1 comment:

  1. mohon ambil info utk proposal ksus penyembelihan kolej kmi.. boleh?

    ReplyDelete