Sahabat PERKIM

Thursday, March 24, 2011

Membudayakan membaca di kalangan mahasiswa



''Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan."
(Al-Alaq: 1)

Statistik membaca di kalangan rakyat Malaysia pada tahun 1997 adalah sehelai muka surat setahun. Pada tahun 2002 pula, statistik menunjukkan peningkatan sebanyak dua muka surat setahun. Kajian profil membaca di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 2005 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku sepanjang tahun.

Hari ini, banyak di kalangan kita khususnya mahasiswa gemar membaca blog, facebook dan bahan bacaan dalam talian. Seorang mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sempat ditemui, berkata kesuntukan masa menyebabkan kurangnya budaya membaca buku-buku ilmiah di kalangan pelajar. Selain itu, lambakan bahan bacaan hiburan dan komik serta penganjuran aktiviti hiburan yang semakin meningkat menyebabkan minat membaca bahan-bahan bacaan yang berunsurkan ilmiah berkurangan.

Pesta Buku Utara 2011

Baru-baru ini, UUM telah menganjurkan Pesta Buku Utara 2011 dari 20-24 Mac bertempat di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah bermula jam 9 pagi hingga 7 petang. Pesta ini telah menarik banyak di kalangan orang ramai, bukan sahaja mahasiswa UUM malah masyarakat serta pelajar-pelajar dari luar. Perkim UUM khususnya menyokong penuh aktiviti yang dianjurkan ini kerana ia dapat memupuk budaya membaca di kalangan mahasiswa agar menjadi insan yang berpengetahuan. Exco Akademik dan Perhubungan Korporat Perkim UUM, sdr. Mohd Hanafi Halide menyatakan penganjuran ini selaras dengan apa yang ingin dicapai negara untuk membentuk manusia yang berilmu sekaligus melahirkan modal insan kelas pertama.

Oleh yang demikian, kepada seluruh warga UUM khususnya, marilah kita bersama-sama menerapkan budaya membaca ke dalam diri masing-masing agar kita menjadi mahasiswa yang kaya dengan ilmu pengetahuan untuk menempuh kehidupan di hari kemudian kelak.
Mahasiswa berkunjung ke pesta buku pada hari terakhir


Sedang memilih sebelum membeli

No comments:

Post a Comment