Sahabat PERKIM

Thursday, December 8, 2011

FITNAH BUKAN BUDAYA KITA

Bissmillahirrahmanirrahim,
Saya ingin melahirkan kekecewaan terhadap isu yang ditimbulkan di dalam sebuah web iaitu gazebodaily dalam satu artikel yang bertajuk “UUM : Dua Sahabat Baik Bercanggah Pendapat Tentang AUKU”. 

YDP Kelab Perkim Saudara Khalifa Omar Abdullah, dalam kenyataannya menyatakan beliau bersetuju dengan langkah kerajaan yang memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk melibatkan diri dalam hal politik. “AUKU adalah penyebab utama mahasiswa lemah dan tidak matang dalam menyuarakan sebarang pendapat kerana ‘takut’.

“Hal ini akhirnya akan melahirkan mahasiswa yang hanya ‘menurut perintah’.”katanya dalam satu kenyataan.
Setelah membaca arikel tersebut saya sendiri agak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau. Persoalanya di sini bukanlah isu AUKU tersebut tetapi benarkah kenyataan tersebut dikeluarkan oleh beliau atau ia hanya cubaan provokasi pihak tertentu untuk menjatuhkan beliau dan juga Kelab Perkim sendiri. Setelah diselidik benarlah kenyataan tersebut hanyalah suatu fitnah dan tidak pernah sekalipun beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu.
Ingin saya tegaskan di sini, fitnah bukanlah budaya kita terutama sekali bagi kita yang mengaku beragama Islam. Islam amat melarang keras perbuatan fitnah dalam masyarakat kerana kesannya boleh memecah belahkan umat Islam itu sendiri.
Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.
Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu.
Natijah akibat perbuatan itu boleh mencetus persengketaan dan mungkin berakhir dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa. Individu yang suka menyebar fitnah sentiasa mencari kejadian atau berita boleh dijadikan bahan fitnah.
Dengan sedikit maklumat, berita itu terus disebarkan melalui pelbagai saluran yang merebak dengan mudah. Berita sensasi, terutama berkaitan individu ternama dan selebriti mudah mendapat perhatian khalayak.
Justeru, Allah memberi peringatan mengenai bahaya fitnah. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya.” (Surah al-Baqarah :191)
Apabila fitnah tersebar secara berleluasa, ia bermakna nilai agama sudah musnah dalam diri seseorang atau masyarakat. Islam bertegas tidak membenarkan sebarang bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.” (Hadis riwayat Muslim)
Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah.
Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan.
Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.
Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Nik Abdul Qayyum bin Mohd Muhiden
Naib Yang Dipertua 1 Kelab Perkim UUM

No comments:

Post a Comment