Sahabat PERKIM

Sunday, December 4, 2011

Kelebihan Ziarah Orang Sakit


Hidup adalah satu lapangan ujian bagi menilai sejauh mana teguhnya keimanan dan ketaqwaan seseorang insan kepada Allah. Kesabaran dalam menghadapi ujian hidup amat penting untuk dipupuk di dalam diri seorang insan, kerana dalam setiap ujian atau musibah yang dihadapi, terselit hikmah yang mungkin tidak terjangkau oleh pemikiran.





Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan ukhuwwah sesama muslim dan silaturrahim sesama keluarga.
Amalan ziarah sesama Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar pada masa sakit sahaja. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar,

 sebagaimana sabda Baginda Rasulullah saw dalam hadis-hadis di bawah ini:

Abu Hurairah ra meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:
“Kewajiban seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.”
[HRBukhari & Muslim]





Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit, seolah-olah dia berada dalam ‘Kharfah’ sehinggalah dia pulang.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan ‘Kharfah’ itu?” Rasulullah saw bersabda: “Iaitu kebun di syurga (yang penuh dengan buah-buahan yang boleh dipetik pada bila-bila masa)”. [HR Muslim]


Daripada Ali ra, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa.” [HR At-Tirmizi: Hasan]

 

 Adab Ziarah:

Antara adab-adab menziarahi pesakit ialah;


a- Berniat menziarahi orang sakit sebagai mengikut sunnah Rasulullah saw.


b- Memberi nasihat agar bersabar dan tabah menghadapi ujian.


c- Bertanyakan tentang ibadatnya; solat dan lain-lain, sekiranya dia tidak mampu ajarlah mereka atau bertanyakan kepada orang yang pandai.


d- Menyampaikan ucapan yang baik agar dapat menghiburkan hati pesakit dan menguatkan jiwanya.


e- Pendek dan jarakkan waktu ziarah, jangan terlalu lama dan kerap menziarahinya. (kecuali pesakit itu mengkehendaki sebaliknya).


f- Mendoakan pesakit agar lekas sembuh.


Hendaklah kita mendoakan dengan doa yang diajar oleh Rasulullah saw agar dia cepat sembuh dan bersabar dalam menghadapi kesakitan;

((أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لا شِفَاءَ إِلا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لا يُغَادِرُ سَقَمًا))
“Ya Allah! Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu jua, sesuatu kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”. [HR Bukhari]


لاَ بَأْسَ، طَهُورٌ إِنْ شَاءَ الله
“Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insya’Allah”. [HR Bukhari]

Rasulullah saw bersabda: “Tiada seorang muslim yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, kemudian membaca doa ini tujuh kali nescaya disembuhkan penyakitnya itu:

أَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ.
Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan engkau”. (tujuh Kali). [HR At-Tirmizi dan Abu Daud]

Doa Jibrail kepada Nabi saw ketika Baginda sakit:

بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ…
“Dengan Nama Allah aku menjampikan mu dari semua perkara yang menyusahkanmu…”

[HR Ibn Majah]

g- Bacaan dan perbuatan apabila tubuh merasa sakit;“Letak tangan di tempat sakit kemudian baca: بِسْمِ اللهِ.
“Bismillah” tiga kali, dan baca tujuh kali:
أَعُوْذُ بِاللهِ وَقُدْرَتِهِ، مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وأُحَاذِرُ
“Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaanNya dari kejahatan yang aku dapati dan aku takuti” [HR: Muslim].


h- Jika ditakdirkan pesakit itu berada dalam kecemasan, tenat atau sedang menghadapi nazak, maka berdoalah kepadanya;اللَّهُمَّ أَعِنهُ عَلَى سَكَرَاتِ الْمَوْتِ
“Ya Allah, bantulah dia di atas sakarat al-maut”.


i- Ajaran kepada orang yang sedang nazak; La ilaha illallah!“Sesiapa yang akhir ucapannya: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّه
“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”, dia akan dapat masuk syurga”. [HR Abu Daud 3/190. Lihat: Sahih Al-Jami' 5/432].

 

kenangan program Jelajah Kebajikan : Ziarah Hospital, 19 Nov 2011 di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani Kedah


-Semoga artikel ringkas ini dapat membantu muslimin dan muslimat dalam menghidupkan sunnah Rasulullah saw ketika menziarahi orang sakit atau menghadapi kesakitan. Sekian.

No comments:

Post a Comment