Sahabat PERKIM

Monday, December 5, 2011

Penghijrahan Saudara Baru

Syukur ke hadrat Ilahi di atas rahmat dan hidayahNya buat mereka-mereka yang telah menerima Islam sebagai cara hidup yang sebenar, kami dari pihak  Kelab PERKIM UUM turut merasa bahagia kerana pertambahan saudara Se-Islam  berkembang hari demi hari terutamanya di kalangan masyarakat orang asli. Semoga dakwah yang berterusan sentiasa mengetuk dan membuka hati-hati mereka yang masih belum menerima Islam.  Antara faktor yang menyebabkan golongan ini memeluk Islam adalah kerana melihat bagaimana layanan masyarakat Melayu yang saling menghormati antara satu sama lain membuatkan mereka tersentuh hati.
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a : “Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”
(al-Bukahri)  

                                                        
Mualaf ialah orang yang baru berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf bererti lemah. Istilah ini lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja memeluk Islam dan masih lemah pemahamannya tentang Islam. Kebanyakan daripada kita tidak memahami keperluan mualaf.

Mualaf sebenarnya mengharapkan teman dan sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan. Justeru perlu ada pihak yang menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini agar mereka tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya tidak terabai dan memantau perkembangan mereka.

Kebanyakan kes yang berlaku hari ini, orang memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat membolehkannya berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan dengan niat yang benar-benar ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT. Bagi mualaf yang ikhlas ingin memeluk Islam pula, mereka akan melaksanakan ajaran Islam secara bertahap. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada antara golongan mualaf ini yang jauh lebih taat daripada mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan inilah yang disebutkan di dalam hadis di atas.

Baru-baru ini seramai 60 saudara baru diislamkan secara serentak dalam satu majlis anjuran Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dengan kerjasama Perkim di Balairaya Masjid Sultan Abu Bakar,

Pengarah Jaij, Elias Hasran berkata, seramai 800 saudara baru telah diislamkan bagi tahun ini (2011), manakala seramai 6,100 daripada 12,000 bilangan Orang Asli yang terdapat di negeri ini telah memeluk Islam.

Beliau berkata, Jaij menyasarkan untuk mengislamkan 100 peratus golongan Orang Asli dan pelbagai program bimbingan dan penyebaran dakwah dalam kalangan saudara baru berkenaan telah dijalankan.

“Setakat ini lebih 50 peratus Orang Asli negeri ini telah memeluk Islam dan kalau boleh 100 peratus masuk Islam terutamanya golongan anak-anak muda.

“Dalam pada itu, kita juga tidak mahu saudara baru ini tersasar, jadi pelbagai kelas bimbingan termasuk 42 tenaga pengajar telah disediakan khusus untuk kumpulan orang asli ini,” katanya pada Majlis Pengislaman Orang Asli dan Meraikan Saudara Kita, di sini, semalam.

Sementara itu, salah seorang saudara baru, Muhamad An Abdullah, 22, berkata, dia tergerak untuk memeluk Islam setelah melihat cara hidup masyarakat Melayu yang saling menghormati di antara satu sama lain.

“Saya telah biasa bergaul dengan rakan-rakan yang terdiri daripada masyarakat Melayu dan rasa tersentuh dengan cara layanan mereka yang amat baik ketika saya ke rumah mereka pada musim perayaan.

“Dari situ saya mula belajar sedikit demi sedikit mengenai Islam dan akhirnya membuat keputusan memeluk Islam,” katanya.

Muhamad berkata, dia juga berasa lebih tenang dan bahagia setelah memeluk Islam dan sering menyertai kelas agama yang disediakan berhampiran tempatnya bekerja bagi mendalami agama Islam.

Dalam pada itu, salah seorang Orang Asli, Atan Bahmus, 32, berkata, dia dan anaknya memeluk Islam pada majlis berkenaan dan berasa bersyukur kerana terbuka hati untuk menyertai program pengislaman berkenaan.

“Sebelum ini kami sekeluarga tidak mempunyai pegangan agama atau kepercayaan, kehidupan kami juga terasa kosong.

“Saya berharap niat kami memeluk Islam pada hari ini (semalam) mendapat keberkatan dari-Nya,” katanya.

(sumber: Sinar)

Semoga dengan penghijrahan mereka juga dapat memberi pengajaran dan hikmah di sebalik keIslamanan kita yang telah lama membawa identiti Islam, seharusnya juga, keimanan dan ketakwaan kita sentiasa membuahkan hasil yang baik seterusnya menjadi contoh teladan kepada saudara baru yang ingin lebih mendalami Islam. Sentiasalah kita memperbaiki diri dan bermuhasabah agar jati diri sebagai seorang Muslim terpelihara.

Wallahualam.

Oleh: Anis Sakinah Binti Azizan
        Timbalan Setiausaha Agung
        Kelab PERKIM UUM
        sesi 2010/2011
       


No comments:

Post a Comment